Dari Sudut Perspektif - Warung Kopi Simpang Tiga

Idea... sesuatu yang penting.. Jadilah orang yang ingin berfikir ?.

Friday, July 14, 2006

Melayu,Orang Asli keturunan berbeza

Orang Asli dan orang Melayu di Semenanjung bukan berasal dari keturunan atau rumpun yang sama.
Penemuan itu dibuat oleh penyelidik Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Zafarina Zainuddin, yang mendakwa Orang Asli dan orang Melayu datang dari dua kawasan yang berbeza.

Beliau berkata, penemuannya merumuskan Orang Asli dipercayai berasal dari kumpulan Negrito, Afrika dan kewujudan mereka adalah kira-kira 40,000 tahun dulu manakala orang Melayu pula dipercayai berasal dari Zheijian-Fujian, China yang berhijrah ke sini sekitar 8,000 tahun lalu.

“Kita tidak ubah sejarah, sebaliknya kita sedang mendokumentasikan sejarah. Orang Asli memang lebih tua dari orang Melayu. Ada banyak orang yang datang ke Malaysia dan banyak yang sudah bercampur," katanya selepas majlis penyerahan dua tesis kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di Bilik Persidangan USM di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor USM, Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak.

Tesis bertajuk Analisis Genetik dan Kraniofacial Masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia dihasilkan oleh Dr Zafarina manakala Pensyarah Pengajian Sains Pergigian, Dr Mohd Fadhli Khamis menyediakan tesis bertajuk Variasi Pergigian Dalam Populasi Malaysia untuk aplikasi pengecaman identiti manusia.

Kedua-dua tesis itu yang pertama seumpamanya di Malaysia diserahkan kepada Ketua Pengarah JHEOA, Datuk Fadzil Mahamud bertujuan membantu mewujudkan kluster bagi penyelidikan membabitkan Orang Asli.

Zafarina berkata, USM sedang memohon mendapatkan geran RM1.4 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi melaksanakan pembentukan kluster itu.

Selain itu, katanya, beliau juga sedang membuat kajian mengenai etnik Melayu di Semenanjung yang terdiri daripada 12 kumpulan dan antara lain bertujuan untuk membuktikan sama ada Melayu Kelantan adalah orang Melayu tulen.

Sementara itu, Fadzil berkata, kajian dua tesis berkenaan penting bagi membawa Orang Asli ke dalam arus pembangunan sekali gus mengatasi masalah kemiskinan tegar golongan berkenaan dalam jangka masa panjang.

"Mungkin nanti Orang Asli tidak lagi duduk dalam hutan dan hanya bergantung kepada hasil hutan. Sekarang ada kira-kira 150,000 Orang Asli di Semenanjung," katanya.
sumber dari : berita harian

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home